“ saya menaiki sebuah kapal yang sangat besar bersama seorang lelaki dan seorang wanita yang saya sangat kenal. Tapi saya tak ingat siapa mereka. Tiba-tiba kapal tersebut melalui jurang yang sangat dalam. Saya tak mampu berbuat apa-apa cuma sempat berdoa dengan Tuhan untuk selamatkan saya. Pelik bila saya selamat dalam kapal itu, tidak tenggelam tapi lelaki dan wanita itu hilang. Dan saya tersedar mendengar azan subuh.”
Jari manis kanan masih bengkak. Lebam da hilang tapi masih tak boleh sarung cincin di situ. Hati saya juga masih bengkak dan terus terbungkam sepi. Secara serius saya tak tahu apa relevan nya semua ini dalam hidup saya. Saya tak mampu nak hadapi semua ini. Tapi siapalah saya untuk mengatakan tidak pada ketentuan Illahi. Ya, saya redha. Saya pasrah.
Segala yang terjadi ada hikmah yang tersembunyi. Sambil berjenaka saya memberitahu pada diri. Saya dan Rita Rudaini bagaikan mempunyai kisah yang sama kecuali dia seorang yang cantik. Mungkinkah akhirnya saya akan menang seperti Fasha Sandha yang sangat manis di hari bahagianya setelah melalui pelbagai fasa perhubungan dengan cinta hati? Saya tidak tahu.
Saya tak pernah nak memisahkan seorang ibu dengan anaknya. Apatah lagi menjadikan seorang anak itu derhaka terhadap wanita yang paling berharga dalam hidup setiap manusia. Saya selalu mengalah walaupun hati saya remuk, maruah saya bagai dipijak-pijak. Mungkin saya tidak redha dan ikhlas diperkotak-katikkan sebegitu. Tapi saya bukan maksum. Saya hanya manusia biasa yang penuh dengan dosa dan khilaf. Saya akan lepaskan dia hanya jika dia yang meminta. Ya. Saya akur andai takdirNya begitu.
Layakkah saya mencintai makhlukNya sedangkan cinta agungNya tidak pernah saya damba? Layakkah saya merindui hambaNya sedangkan rindu padaNya tidak pernah terungkap? Layakkah saya terus mengharap kasih dari ciptaanNya sedang kasihNya yang satu sentiasa melimpah ruah?
Ya..terlalu jauh kaki ini melangkah. Hanya padaMu ku berserah.
Alhamdulillah.. semua ini menjadikan saya lebih kuat. Saya maafkan dan redha dengan semua yang berlaku. Cuma melupakan perkara ini akan mengambil masa. Masih berparut dan harapnya tidak akan terluka di masa hadapan. Tapi saya hanya mampu merancang. Yang baik dan indah datang dari Allah. Yang buruk dari diri saya sendiri.
semoga semuanya baik-baik saja.